Wednesday 17 February 2010

Usahawan- Siapa yang nak jadi?

Menyebut nama usahawan kita sudah terbayang mesti seorang yang kaya raya atau tidakpun boleh hidup senang. Semua orang berebut-rebut nak jadi usahawan kalau semudah yang dikata. Tapi pernah tak kita terbayang susah payah yang dilalui untuk bergelar seorang usahawan. Selalu kalau orang bertanya," engkau kerja apa?". Dengan senyum melirih kita menjawab, "aku berniaga aje". Orang pasti akan berkata," Wah, dah kaya lah engkau yea sebab berniaga!".

Betul ke semudah itu? Bila sebut aje kita berniaga, perkataan kaya akan datang seiring. Tapi bagus juga kalau fikir begitu mudah-mudahan itu menjadi satu doa buat orang yang berniaga. Rezeki berniaga ni Nabi kita dah kata bahawa 9/10 rezeki terletak padanya. Harus diingat juga, kalau dah namanya rezeki 9/10, susah payahnya jugak 9/10, sebanding dengan imbalan yang akan diterima. Kena sanggup berhadapan dengan risiko rugi, kalau time takde modal tu kena tebalkan muka meminjam pada kawan2 atau bank-bank sama ada yang berdaftar atau tidak(along lah tu-tapi jangan cuba2, nanti merana sepanjang usia, kalau boleh sampai ke kubur diorang nak cari). Ataupun bila tiba modal tak terpusing...memang boleh botak kepala dibuatnya. Inilah antara risiko yang harus diambil.

Banyak juga usahawan yang sudah berjaya (tapi harus diingat roda kehidupan sentiasa berpusing), menceritakan susah payah untuk membangunkan perniagaan. Orang yang kerja makan gaji sudah dibuai mimpi, orang yang kerja sendiri, pukul tiga pagi belum tentu balik lagi.
Tapi, kalau sudah memilih untuk berniaga atau bekerja sendiri, kena bulatkan tekad dan cekalkan hati. Keyakinan akan janji-janji-Nya harus disematkan di dalam hati. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Hanya masa yang menentukan. Kita hanya berusaha mencari rezeki, kalau tak jumpa usaha lagi dan lagi. Hanya orang yang melalui sahaja yang mengetahui hakikat susah payahnya menjadi usahawan atau bekerja sendiri. Tawakal pada Yang Esa kena sentiasa ada pada diri.

Bila bisnes menjadi jangan pula kita lupa diri. Kadang-kadang tu Allah belum beri rezeki lagi sebab tahu kita jenis yang pantang ada duit, mula nak joli. Dia bagi kesusahan dalam mencari untuk diri menjadi lebih baik lagi. Pendek kata kena sentiasa berbaik sangka dengan tuan yang empunya rezeki langit dan bumi. Kita hanya menumpang sementara nak mati. Kalau dah kaya tu janganlah mendabik diri kata, " rezeki ni aku yang cari sendiri!". Beringat-ingatlah sementara kubur belum panggil lagi.

Pendek kata, menjadi usahawan tidak semudah menyebutnya. Bersedialah untuk menerima kata nista bila time biz tak menjadi lagi, atau bersedialah untuk berhadapan dengan persaingan bila biz di puncak kejayaan. Juga bersedia dengan ujian kenikmatan salah satu ujian keimanan dari Tuhan. Pokok pangkalnya walau siapa pun kita, berpijaklah di bumi yang nyata dan jangan terasa dunia ini ana yang punya. Sama ada kita gagal atau berjaya, susah atau senang kita hanya singgah sementara. Berusahalah mencari rezeki seolah-olah kita akan hidup selamanya di dunia dan beribadatlah kepada-Nya seolah-olah kita akan mati keesokkannya. Hanya sebagai peringatan untuk diri saya juga anda semua.

No comments:

Post a Comment